mutakhir

Sarang lebah dewan makan asrama

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: “Saya tak sangka ada sarang lebah besar di siling dewan makan asrama. Syukur tiada sebarang insiden berlaku terhadap 160 penghuni selama ini,” kata warden asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yam Tuan Radin di sini, kelmarin.

Warden yang enggan namanya disiarkan itu berkata, dia menerima aduan daripada pelajar yang ternampak banyak lebah keluar masuk ke dalam siling di luar dewan makan berkenaan, baru-baru ini.

“Saya memaklumkan perkara itu kepada penyelia asrama yang kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Port Dickson untuk meminta bantuan.

“Saya terkejut apabila anggota APM yang melakukan pemeriksaan mendapati ada sarang lebah besar dipercayai berusia lebih setahun dalam siling itu.

“Bagaimanapun, mereka menunggu sehingga semua penghuni pulang ke rumah sebelum mengambil tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi APM Port Dickson Koperal Wan Maryam Nisa Noormanshah berkata, operasi memusnahkan sarang lebah berkenaan dilakukan bersama tiga lagi anggota yang mengambil masa dua jam bermula jam 8 malam selepas semua pelajar pulang sempena cuti hujung minggu.

“Berdasarkan saiz sarang yang besar dan madu kelihatan hitam serta pekat, kami anggarkan lebah ini bersarang lebih setahun,” katanya.

Disiarkan pada: May 20, 2018 @ 6:27am
d