mutakhir

Pemandu mengantuk rempuh MPV polis

Oleh HM Digital

Petaling Jaya: Mengantuk dipercayai punca seorang pemandu terbabas lalu melanggar kereta peronda polis (MPV) yang berhenti melakukan pemeriksaan di Kilometer 30.7, Lebuhraya Persekutuan, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, Proton Preve berkenaan dilanggar pada bahagian belakang namun anggota yang melakukan pemeriksaan ke atas kereta Proton Waja berkenaan sempat mengelak daripada dirempuh.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, rempuhan kuat itu turut menyebabkan MPV bergerak ke depan dan melanggar belakang Proton Waja yang diperiksa.

“Ketika kejadian anggota MPV melakukan pemeriksaan ke atas pemandu Proton Waja yang dipandu lelaki berusia 63 tahun. Anggota memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan di belakang kenderaan itu dan menyalakan lampu beacon.

“Seorang daripada anggota berada di belakang MPV menjaga lalu lintas sebelum ternampak kereta dipandu laju di lorong kiri lalu masuk ke lorong kecemasan,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, kereta jenis Kia itu menuju ke arah anggota, namun mereka bernasib baik kerana sempat mengelak ke tengah jalan sebelum kenderaan berkenaan merempuh belakang MPV.

“Rempuhan kuat menyebabkan MPV bergerak ke depan dan melanggar Proton Waja menyebabkan pemandunya terhentak pada stereng.

“Pemandu kereta Kia iaitu lelaki berusia 60 tahun bekerja sebagai kerani di syarikat penerbitan akhbar di ibu negara mengaku terlelap ketika memandu sebelum terbabas apabila mengelak kenderaan lain yang cuba memasuki laluannya,” katanya.

Disiarkan pada: May 20, 2018 @ 6:35am
d