mutakhir

Pegawai TLDM meninggal dunia selepas latihan

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

PEGAWAI Dalam Latihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Lumut (HAT Lumut) 1.45 tengah hari semalam selepas dimasukkan ke hospital itu akibat sakit dada dan sesak nafas.

Dalam kenyataan dikeluarkan TLDM, Pegawai Kadet Graduan (PKG) J Soosaimanicckam mengadu sakit dada dan sesak nafas selepas menjalani latihan fizikal seperti termaktub dalam rutin jadual harian pelatih yang diseliakan oleh jurulatih jasmani TLDM.

"Selesai menjalani latihan pada 12.20 tengah hari, mangsa mengadu sakit dada dan sesak nafas di blok penginapan sebelum dihantar ke HAT Lumut bagi tujuan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

"Mangsa kemudiannya diberikan bantuan pernafasan dan rawatan lanjut oleh doktor bertugas sebelum disahkan meninggal dunia 1.45 tengah hari," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan pihak TLDM sudah menubuhkan lembaga siasatan untuk meneliti prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi melihat semula sekiranya terdapat sebarang perlanggaran prosedur ditetapkan.

Katanya, jika terdapat perlanggaran SOP, TLDM tidak akan berkompromi atau melindungi mereka yang melanggari prosedur semasa menjalankan tugas.

Difahamkan, PKG Soosaimanicckam melapor diri ke Kapal Diraja (KD) Sultan Idris 1, pada 12 Mei lalu.

Disiarkan pada: May 20, 2018 @ 1:44pm
d