mutakhir

[UPDATE] Ajal J Soosaimanicckam kerana paru-paru berair

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

SIASATAN awal dijalankan polis mendapati kematian seorang Pegawai Dalam Latihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak membabitkan unsur penderaan atau jenayah.

Mangsa, Pegawai Kadet Graduan (PKG) J Soosaimanicckam, 27, meninggal dunia 1.45 tengah hari semalam di Hospital Angkatan Tentera Lumut (HAT Lumut) selepas dimasukkan ke hospital itu akibat sakit dada dan sesak nafas.

Difahamkan, Soosaimanicckam mengadu sakit dada dan sesak nafas selepas menjalani latihan fizikal seperti termaktub dalam rutin jadual harian pelatih yang diseliakan oleh jurulatih jasmani TLDM.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Seri Manjung (HSM) mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan paru-paru berair.

Katanya, tiada unsur penderaan atau jenayah ditemui setakat ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 4.16 petang yang dibuat oleh pembantu pegawai perubatan hospital berkenaan.

"Laporan diterima memaklumkan seorang pelatih kadet dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan rawatan awal pernafasan (CPR) sudah diberikan, namun anggota berkenaan disahkan meninggal dunia pada 1.45 tengah hari," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Hanif berkata, anggota berkenaan baru dilantik menghadiri latihan asas pegawai kadet pada 12 Mei dan mengangkat sumpah pada Isnin lalu.

Berita berkaitan

Pegawai TLDM meninggal dunia selepas latihan

Disiarkan pada: May 20, 2018 @ 4:28pm
d