mutakhir

'Suspek ditembak mati anggota geng samun, tipu'

Oleh Safeek Affendy Razali

LELAKI warga Afrika yang ditembak mati di Ampang, Selangor, awal pagi semalam dipercayai ahli sindiket samun dan tipu pertukaran wang Dolar Amerika Syarikat (USD) kepada Ringgit Malaysia (RM).

Sindiket yang dipercayai aktif sejak 2016 dengan jumlah samun membabitkan kerugian lebih RM12 juta dipercayai menjadikan rakyat tempatan yang ingin menukarkan wang dalam nilai USD kepada RM pada kadar tinggi sebagai sasaran mereka.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, selain suspek berusia 30-an yang ditembak mati, pihaknya juga memberkas dua lagi ahli sindiket warga Afrika dan Arab bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Dalam kes ini, mangsa hendak menukarkan USD150,000 milik syarikatnya kepada RM dengan nilai tukaran lebih tinggi bertemu dengan seorang lelaki tempatan yang memperkenalkannya dengan seorang lagi lelaki warga Arab.

“Mereka bertemu di sebuah bangunan di Jalan Tun Razak sebelum menaiki kereta Toyota Vios berwarna hitam dipandu lelaki Arab berkenaan untuk bertemu seorang lelaki Arab lain di Bukit Bintang,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Katanya, lelaki Arab terbabit sebaliknya membawa mangsa ke kawasan sunyi di Jalan Damai, sebelum memberhentikan keretanya dengan alasan mahu melihat wang milik mangsa yang diletakkan dalam beg komputer riba.

“Pada masa sama, empat lelaki Afrika yang menaiki sebuah kereta lain mengekori mereka sebelum bertindak membuka pintu belakang dan berlaku pergelutan selepas suspek merampas beg mengandungi wang tunai itu lalu melarikan diri.

“Mangsa yang menjerit meminta pertolongan kemudian dibantu sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, yang bertindak mengejar suspek dan memberhentikan mereka di Jalan Memanda 2, Ampang,” katanya.

Mazlan berkata, salah seorang suspek Afrika bertindak agresif dengan melibas parang ke arah salah seorang anggota polis menyebabkan pihak polis terpaksa melepaskan empat das tembakan sehingga dia terbaring.

Suspek terbabit kemudian disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan Hospital Ampang, manakala empat lagi suspek berusia antara 28 hingga 50 tahun diberkas.

Menurutnya, polis kini memburu dua lagi suspek yang masih bebas untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 307 kanun sama.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Izzat Mohd Shukri di talian 018-2684412.

Disiarkan pada: May 20, 2018 @ 9:55pm
d