mutakhir

Pemisahan kuasa elak penyelewengan, kekal demokrasi [METROTV]

Oleh Azura Abas

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu pemisahan kuasa antara badan perundangan, badan eksekutif dan badan kehakiman dilakukan bagi mengelakkan penyelewengan kuasa, sekali gus mengekalkan asas demokrasi negara.

Beliau berkata, pemisahan tiga kuasa itu perlu ada bagi memastikan periksa dan imbang dapat dilakukan dalam pentadbiran negara.

“Jika tiada ‘check and balance’ seperti ini, maka tetap berlaku sesuatu yang tidak baik sehingga berlaku seseorang itu tidak dapat ditegur dan tidak dapat dihalang.

“Kalau tiada pemisahan kuasa itu, maka akan ada satu pihak yang akan menguasai ketiga-tiga kuasa itu menyebabkan satu pihak itu tidak boleh ditegur dan ditentang sehingga melanggar undang-undang,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri Tun Dr Hasmah Ali. Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zainal Rahim Seman dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM Datuk Seri Mohd Zuki.

Justeru, Dr Mahathir berkata, kuasa pentadbiran memainkan peranan amat penting bagi menghalang perkara itu apabila setiap pentadbir perlu berikrar berkhidmat untuk negara tanpa dipesongkan oleh lain-lain perkara.

Beliau berkata, jika pentadbir diarahkan untuk melakukan perkara bertentangan undang-undang negara, sudah menjadi tanggungjawab mereka boleh mengelak perkara itu.

“Kita lihat, beberapa tahun lalu, pentadbir tidak mempunyai kuasa menegur atau menentang apabila disuruh melakukan sesuatu yang bertentangan undang-undang negara.

“Kita dapati ramai anggota pentadbir kerana mungkin takut dan disogok mereka telah melakukan perbuatan tidak baik dan merugikan negara,” katanya.

Disiarkan pada: May 21, 2018 @ 10:13am
d