mutakhir

Kes rasuah Guan Eng, Phang disebut semula 30 Julai [METROTV]

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

MAHKAMAH Tinggi Pulau Pinang hari ini, menetapkan 30 Julai hadapan sebagai tarikh sebutan semula perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail menetapkan keputusan itu selepas mengambil kira permohonan pihak peguam kedua-dua tertuduh yang mahu menjalankan proses representasi ke atas kes terbabit.

“Perkembangan terbaru kes ini tak perlu cakap lebih dan Guan Eng serta peguamnya, Gobind Singh Deo akan mengangkat sumpah bagi jawatan menteri masing-masing.

“Peguam memohon supaya perbicaraan kes ini ditangguhkan kerana mereka mahu buat representasi kepada Peguam Negara yang baharu dan mahkamah tidak boleh tahan sekiranya pihak peguam tertuduh mahu menjalankan proses berkenaan,” katanya.

Terdahulu, peguam kedua-dua tertuduh memohon kepada mahkamah untuk menangguhkan perbicaraan kes terbabit bagi memberi laluan kepada proses representasi di hadapan Peguam Negara baharu yang dijangka dilantik Julai hadapan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud memaklumkan mahkamah bahawa pasukan pendakwaan bersedia meneruskan proses perbicaraan kes terbabit, selain enggan mengulas mengenai proses representasi itu.

Guan Eng diwakili peguam Ram Karpal Singh dan RSN Rayer, manakala Phang diwakili Datuk V Sithambaram dan Rueben Kumar.

Bagaimanapun, Guan Eng dan Gobind tidak hadir pada sesi pengurusan kes, hari ini.

Sebelum ini, perbicaraan kes rasuah dihadapi Guan Eng bersama Phang ditangguhkan bagi membolehkan Menteri Kewangan itu membuat persediaan bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn, Georgetown pada harga di bawah nilai pasaran.

Bagi dua pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165, Kanun Keseksaan.

Phang pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu.

Disiarkan pada: May 21, 2018 @ 10:28am
d