mutakhir

Jangan berniaga makanan sebelum 3 petang

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

MAJLIS Perbandaran Kota Bharu (MPKB) akan bertindak tegas terhadap premis makanan dan minuman di daerah ini yang berniaga sebelum 3 petang dengan mengeluarkan kompaun sebanyak RM500.

Pegawai Perhubungan Awamnya, Azman Mohd Daham berkata, pihaknya mengambil tindakan itu bagi mengelakkan orang awam membeli makanan pada waktu siang lebih awal.

Katanya, pihaknya mendapati ada premis yang tidak mengikut peraturan apabila menjual makanan dan minuman pada waktu tengah hari atau sebelum 3 petang.

"MPKB-BRI akan bertindak tegas kepada peniaga yang tidak mengikut arahan dengan membuat operasi dari semasa ke semasa sepanjang Ramadan.

"Premis yang didapati bersalah akan dikompaun serta-merta. Kita tidak akan berkompromi dengan peniaga yang melakukan kesalahan berkenaan.

"Hasil pemantauan, premis makanan di bandar mengikut peraturan yang ditetapkan dan hanya segelintir peniaga di kampung yang tidak mengikut arahan yang dikeluarkan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi mengelakkan peniaga di kompaun, pihaknya berharap mereka dapat memberi kerjasama dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Menurutnya, setiap tahun pihaknya mendapati masih ada premis yang beroperasi walaupun sudah dikenakan tindakan tegas sebelum ini.

"Kita menasihatkan kepada peniaga supaya tidak menjual makanan dan minuman sebelum 3 petang, manakala pembeli juga diminta mengikut arahan yang ditetapkan," katanya.

Disiarkan pada: May 21, 2018 @ 1:16pm
d