mutakhir

Apa itu kuih Kerbau Guling? [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

KUIH Kerbau Guling bukan saja memiliki nama unik, malah rasa enak menjadi tarikan setiap kali Ramadan di kalangan penduduk tempatan di Rantau Panjang, Kelantan.

Kuih berasal dari Thailand itu dikenali dengan nama Kuih Hitam atau Koleh Hitam mempunyai tekstur lembut dan dimakan bersama kelapa parut.

Peniaga, Wan Suriana Wan Ali, 35, adalah penjual kuih Kerbau Guling dikenali di pekan Rantau Panjang kerana ayahnya memperkenalkan kuih terbabit dengan resipi sendiri sejak 31 tahun lalu.

Dia yang juga anak ketiga daripada enam adik beradik, masih meneruskan legasi keluarga dengan menjual lebih 25 jenis kuih setiap kali Ramadan dengan menu utamanya Kerbau Guling.

“Sebenarnya nama kuih ini baru sahaja dipanggil Kerbau Guling dalam kalangan penduduk Kelantan, sebelum ini ia lebih dikenali dengan Kuih Hitam.

“Ia dipanggil sebegitu kerana kuih ini digolekkan di dalam kelapa parut seperti kerbau berendam. Kemudian ia dimuat naik ke laman sosial menyebabkan netizen memanggilnya kuih Kerbau Guling.

“Sejak ia ditularkan, gerai kuih kami menerima pelanggan lebih ramai daripada biasa terutama bulan Ramadan dan kuih dijual bermula harga RM2,” katanya ketika ditemui di gerainya berhadapan Stesen Minyak Caltex di Rantau Panjang.

Wan Suriana berkata, pada hari biasa dia hanya menjual 10 dulang kuih terbabit, namun ia berlipat kali ganda ketika Ramadan iaitu lebih 50 dulang sehari kerana permintaan meningkat daripada orang ramai.

Katanya, pelanggan bukan saja penduduk tempatan, malah dari Kota Bharu, Machang dan Gua Musang yang sanggup ke gerainya semata-mata untuk mendapatkan Kerbau Guling.

“Selain itu, pelanggan luar Kelantan pun ada, yang kebetulan melalui jalan ini atau anak perantau yang bekerja di luar.

“Mereka kebanyakan mengetahui tentang Kerbau Guling selepas ia dimuat naik pelanggan kami di Facebook dan Instagram.

“Kuih kami menjadi pilihan ramai kerana tekstur begitu lembut dengan rasa sedap menggunakan resipi sendiri tanpa sekali pun menukar resipi asal dicipta ayah,” katanya.

Disiarkan pada: May 21, 2018 @ 1:33pm
d