mutakhir

Jom mantapkan bacaan Al-Fatihah

Oleh Syanty Octavia Amry

ATAS sambutan memberangsangkan yang diterima Ramadan tahun lalu, Prasarana Malaysia Berhad sekali lagi menganjurkan program Klinik Al-Fatihah yang diadakan di stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur.

Program yang dibuka setiap hari kecuali hari Jumaat itu, memberi peluang kepada orang ramai yang beragama Islam dalam memantapkan bacaan surah Al-Fatihah masing-masing.

Ketua Hal Ehwal Media Kumpulan Prasarana, Azhar Ghazali berkata, atas dorongan semangat dan sambutan daripada penumpang pada musim yang lalu, di bawah Rapid KL, program ini diteruskan lagi bersempena dengan bulan Ramadan Al-Mubarak ini.

"Program ini dilaksanakan bersama-sama dengan Masjid Jamek Kuala Lumpur dan pelajar sekolah tahfiz Darul Quran dari Kuala Kubu Baru, Selangor.

"Dilancarkan semalam, orang ramai boleh menyertai program ini yang terletak di ruang legar utama Stesen Masjid Jamek dan dibuka pada 2 hingga 4 petang pada hari Isnin hingga Khamis; dan jam 11 pagi hingga 6.30 petang pada hari Sabtu dan Ahad," katanya dalam satu kenyataan media.

Azhar berkata, Rapid KL turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Masjid Jamek Kuala Lumpur dan Sekolah Tahfiz Darul Quran atas sokongan mereka untuk program tahun ini.

"Kami menerima sambutan yang cukup menggalakkan tahun lalu. Ramai di kalangan orang ramai yang mahu memantapkan lagi bacaan Al-Fatihah masing-masing kerana ia adalah surah yang amat penting dan juga rukun dalam solat.

"Kami di Rapid KL amat berbesar hati untuk memberi sumbangan ini kepada pengguna pengangkutan ini," katanya.

Terletak bersebelahan dengan Masjid Jamek Kuala Lumpur, Stesen LRT Masjid Jamek adalah stesen integrasi Laluan Kelana Jaya dan Laluan Ampang/Sri Petaling dan juga antara stesen LRT paling sibuk.

Disiarkan pada: May 21, 2018 @ 1:50pm
d