mutakhir

Sampai hati nak sembelih ibu

Oleh Mohd Rizal Abdullah

TIDAK cukup menumbuk kepala ibu kandungnya sehingga lebam, lelaki turut tergamak cuba menyembelih wanita itu dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Balat Tengah, Marudi, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, perbuatan suspek berusia 22 tahun itu terbalas apabila ditahan polis di rumahnya, 10.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Marudi, Deputi Superintendan Gabriel Risut berkata, suspek ditahan selepas polis menerima laporan dibuat ibunya berusia 55 tahun pada hari kejadian.

"Hasil siasatan mendapati suspek tiba-tiba mengamuk tanpa sebab di rumahnya pada Jumaat lalu. Malah, suspek menampar dahi dan menumbuk kepala ibunya hingga lebam, selain cuba mencederakan ibunya menggunakan parang.

"Bagaimanapun, tindakan gila suspek itu berjaya dihalang adik perempuannya. Suspek turut mengancam akan terus bertindak sedemikian sekiranya ibunya membuat laporan polis berhubung kejadian itu," katanya.

Katanya, kejadian itu bukan kali pertama, sebaliknya suspek sering bertindak luar kawalan sebelum ini menyebabkan mangsa tidak mempunyai pilihan lain, kecuali membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatannya.

"Ketika serbuan, parang yang digunakan suspek turut dirampas. Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Marudi untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: May 21, 2018 @ 3:17pm
d