mutakhir

Kad ucapan raya hologram 3D

Oleh Siti Salmiah A Hamid

POS Malaysia Berhad (Pos Malaysia) memperkenalkan kad ucapan hari raya Hologram Tiga Dimensi (3D) yang menyaksikan peralihan mesej ucapan Aidilfitri daripada kad konvensional kepada 3D.

Ketua Pegawai Operasi Mel Pos Malaysia Helmi Hashim berkata, inovasi Augmented Reality (AR) yang diperkenalkan pada tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan sehingga merangsang pengeluaran kad ucapan Aidilfitri sama dengan ciri tambahan.

“Kelainan ini menggabungkan digital dan kad raya tradisional untuk menarik masyarakat terutama generasi Y yang lebih tertumpu kepada penggunaan mesej pesanan ringkas dan media sosial.

“Pek kad Ucapan Raya Hologram 3D dijual pada harga RM12.00 mengandungi empat kad AR, kad ucapan Hari Raya (1), sampul berserta setem RM0.50 (1), projektor plastik hologram (1) dan poskad filem ‘Pulang’ edisi terhad (1),” katanya pada sidang media kad Ucapan Raya Hologram 3D di Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Mel Komersil Shamsuddin Harun.

Katanya, kad Ucapan Raya Hologram 3D didatangkan dalam dua reka corak dan video yang berbeza.

Pelanggan perlu memuat turun aplikasi hologram melalui aplikasi Google Play atau App Store dan melekatkan projektor plastik hologram pada skrin telefon pintar untuk melihat video hologram 3D.

Tahun lalu, kira-kira 1.1 juta kad raya Aidilfitri dan poskad animasi dipos ke seluruh Malaysia berbanding 2016 dan dijangka meningkat sehingga 1.2 juta untuk tahun ini.

Kad ucapan raya keluaran baru ini boleh didapati di 400 pejabat pos terpilih seluruh negara.

Disiarkan pada: May 21, 2018 @ 4:05pm
d