mutakhir

'Permintaan nasi kerabu terakhir...'

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

“SAYA rasa seperti mimpi, namun perlu terima hakikat bahawa dia sudah tiada,” kata Abdul Rahman Ab Ghani, 45, bapa kepada Muhammad Suhaimi Abdul Rahman, 21, yang maut dalam kemalangan di Jalan Kota-Sawah Raja berhampiran Jalan Limau Kambing, Rembau, petang semalam.

Muhammad Suhaimi yang juga penuntut Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) maut di lokasi kejadian apabila motosikal Honda Wave ditunggangnya merempuh sebuah lori yang keluar dari simpang secara tiba-tiba.

Abdul Rahman berkata, anaknya yang juga penuntut semester akhir KUIM dalam perjalanan pulang dari kolej ke rumah di Taman Angkasa Jaya, Kuala Pilah.

“Sebelum kejadian, arwah menghubungi ibunya (Azira Irdawati Adnan, 42) memaklumkan dia mahu berbuka puasa dengan keluarga dan ingin makan nasi kerabu.

“Namun segalanya tidak kesampaian kerana Allah lebih sayangkan dia,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tampin, hari ini.

Menurutnya, anak sulung daripada lapan beradik itu sedang dalam minggu peperiksaan dan hanya tinggal satu kertas sahaja yang perlu didudukinya pada Rabu ini.

“Sebelum ini, dia pernah menyatakan hasrat mahu mencari kerja bagi meringankan beban saya selepas tamat peperiksaan, malah mahu membelikan pakaian raya untuk adik-adiknya.

“Pemergiannya amat dirasai kami sekeluarga disebabkan dia anak yang baik dan tidak pernah melawan cakap orang tua,” katanya.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Jamek Yamtuan Radin, Kuala Pilah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dioh Tengah, Kuala Pilah, petang ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: May 21, 2018 @ 5:06pm
d