mutakhir

'Juntaian tali nilon punya hal'

Oleh Ahmad Ismail

DUA lelaki berusia 34 dan 28 tahun ditahan ketika cuba memecah masuk ke dalam sebuah bangunan sarang burung walit bersebelahan dengan hotel disewa mereka.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Raub Selamat berkata kejadian berlaku di tingkat dua premis yang terletak di Labis, Segamat pada 10 malam kelmarin.

Katanya, dua suspek ditahan apabila sepasukan anggota Balai Polis Labis diketuai Inspektor Chan Kok Chuan terlihat seutas tali nilon gelap terjuntai di bawah bumbung bangunan sarang burung bersebelahan premis hotel itu.

“Anggota polis kemudian meneliti sambil menyusuri tali nilon itu berhampiran tangki air di bahagian tepi bangunan hotel yang kemudian menghala ke dalam bilik sewa dihuni tiga orang termasuk dua suspek,” katanya ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, semalam.

Menurutnya, ketika serbuan di bilik itu, polis menemui sarang burung walit seberat 200 gram bernilai kira-kira RM500 yang diletakkan dalam bungkusan plastik merah.

Katanya, pihak polis turut menemui dadah jenis heroin seberat kira-kira 11.39 gram dalam bekas plastik lutsinar bersama seorang wanita, 25 tahun, yang juga isteri kepada suspek berusia 34 tahun.

“Ketika serbuan, suspek terperangkap dalam bangunan sarang burung itu disebabkan keliru hingga terpaksa dibantu anggota polis untuk turun ke bilik sewa mereka.

“Pemeriksaan di dalam beg galas dibawa suspek menemui pelbagai peralatan termasuk gulungan tali nilon, ragum, segugus ‘allen key’, batang paip PVC dengan scrapper dan pemutar skru,” katanya.

Menurutnya, dua suspek lelaki didapati positif dadah jenis morfin, manakala suspek wanita positif methaphetamin berdasarkan hasil saringan ujian air kencing.

Katanya, ketiga-tiga mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap kini direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: May 21, 2018 @ 5:13pm
d