mutakhir

'PERHILITAN arah baiki pintu kandang dengan segera'

Oleh Mohd Rafi Mamat

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang mengarahkan pengurusan Bukit Gambang Safari Park di Kuantan membuat penyelenggaran pintu kandang beruang mereka dengan segera bagi mengelak kejadian petugas diserang setiap kali melakukan kerja pembersihan.

Pengarahnya Ahmad Azhar Mohamed berkata, tindakan berkenaan penting bagi memastikan kejadian beruang menyerang petugas seperti Renjer Kanan Ishak Rashid, 51, sehingga cedera di muka dan kaki tidak berulang.

Menurutnya, pihaknya difahamkan penyelak pintu pagar yang menempatkan haiwan itu dikatakan terbuka disebabkan gegaran dilakukan beruang terbabit dan pada masa sama kunci pendua yang juga prosedur keselamatan tidak dipasang.

Katanya, kelemahan pada pintu kandang haiwan terbabit mungkin turut menjadi faktor utama beruang jantan jenis Asiatic Black Bear terbabit terlepas dan bertindak ganas menyerang Ishak ketika mahu melakukan rutin harian pembersihan sangkar itu.

“Pegawai PERHILITAN daerah sudah melakukan siasatan dan pemeriksaan di sangkar itu bagi mengenal pasti punca kejadian pada 12.30 tengah hari Sabtu lalu.

“Siasatan juga membabitkan langkah keselamatan yang diambil pihak pengurusan safari sama ada mengikut peraturan serta syarat ditetapkan oleh PERHILITAN atau sebaliknya.

“Kita sedia bekerjasama dengan pengurusan Bukit Gambang Safari Park dalam memastikan mereka mengikut prosedur operasi standard (SOP) terutama membabitkan keselamatan pekerja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas kejadian menimpa Ishak diserang beruang jantan milik pusat peranginan itu.

Mangsa yang berasal dari Kedah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan berada dalam keadaan stabil.

Kejadian berlaku ketika mangsa yang ditugaskan menjaga haiwan berkenaan sejak lima tahun lalu menjalankan rutin harian pembersihan kandang beruang itu.

Katanya, kejadian itu diharap menjadi pengajaran supaya tidak berulang pada masa akan datang, kerana sedikit kecuaian sahaja akan menyebabkan kemalangan.

Berita berkaitan

Renjer Safari cedera bergelut beruang

Disiarkan pada: May 21, 2018 @ 5:37pm
d