mutakhir

'Sokong Hishammuddin tanding Presiden'

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

NAIB Presiden UMNO, yang kini menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, digesa mempertimbangkan cadangan untuk bertanding sebagai Presiden pada pemilihan akan datang.

Cadangan itu dibuat Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang yang mendakwa turut mendapat sokongan beberapa ketua bahagian UMNO lain di negeri itu

“Kami (Ketua Bahagian) sudah pun ada kata sepakat walaupun ini pendapat peribadi kami.

“Tapi kami minta sangat kepada Datuk Seri Hishammuddin untuk mempertimbangkan supaya bertanding sebagai Presiden UMNO pada pemilihan akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Perhubungan UMNO negeri yang dipengerusikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Turut hadir, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Md Jais Sarday; Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Samsol Bari Jamali dan semua Ketua Bahagian serta wakil.

Maulizan berkata, gandingan pemimpin baharu seperti Hishammuddin dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin diyakini akan mengembalikan sokongan golongan muda kepada parti.

“Hari ini kita harus terima hakikat bahawa kepimpinan parti tidak boleh dilihat hanya dalam bentuk sokongan dalaman parti tapi kita turut ambil kira sokongan masyarakat secara keseluruhan

“Terutamanya golongan orang muda yang mengharapkan UMNO pulih balik semula dan ramai di peringkat akar umbi juga mengharapkan perkara sama dengan kepimpinan yang baharu,” katanya.

Justeru, Maulizan berharap Hishammuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong akan mempertimbangkan cadangan mereka.

Disiarkan pada: May 21, 2018 @ 9:14pm
d