mutakhir

Siti Hasmah dan beg RM125

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Tular di laman sosial beberapa keping gambar menunjukkan beg tangan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang dipercayai berjenama Marie Claire berharga RM125.10 yang turut dijual di Zalora.

Biarpun tidak dapat dipastikan sama ada beg milik Siti Hasmah benar-benar berjenama Marie Claire iaitu jenama beg tangan keluaran Bata, namun berdasarkan warna dan rekaan, beg berkenaan sangat mirip dengan jenama terbabit.

Foto Siti Hasmah itu dirakam ketika beliau bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berada di Perdana Putra, Putrajaya, semalam.

Gambar sama turut dikongsi di laman sosial Facebook Kelab Che Det dan mendapat likes lebih 20,000 selain dikongsi lebih 4,000 kali oleh pengguna laman sosial berkenaan.

Seorang pengguna laman sosial, Herman Haassan menulis dalam akaun laman sosial miliknya bahawa Siti Hasmah tetap hebat walaupun menjinjit beg tangan Marie Claire.

Selain itu, Margerita Murib menulis benda murah di tangan orang yang baik dan budiman nampak ada kelas tetapi benda mahal di tangan orang jahat nampak murah.

Steven Ng pula menulis biarlah murah tetapi dipandang mulia oleh rakyat seluruh negara dan menjadi teladan kepada anak cucu.

“Teladan supaya berjimat cermat walaupun murah tapi ia masih bergaya bila memakainya,” katanya dalam ruangan komen di Facebook Kelab Che Det.

Anisa Anis pula menulis komen memuji pasangan berkenaan yang kelihatan ringkas dan mengamalkan kesederhanaan tanpa bermewah-mewah.

“Kedua-duanya ringkas, namun penuh berkarisma dan penuh ilmu di dada. Itulah ayahanda dan ibunda Tun berdua penuh dengan karisma dan pengetahuan,” katanya.

Seorang lagi pengguna laman sosial, Waheeda Yob turut memuji dengan menyatakan beg yang digunakan Siti Hasmah kelihatan biasa saja namun kelihatan sangat istimewa kerana dipakai oleh orang ternama.

Susulan gambar berkenaan, wujud juga segelintir netizen yang mempersoalkan kesahihan perkongsian itu namun ramai yang mengakui bahawa pasangan terbabit sememangnya mengamalkan gaya hidup sederhana sejak dulu lagi.

Disiarkan pada: May 22, 2018 @ 4:22am
d