mutakhir

Percaya kebijaksanaan, pengalaman Dr M

Oleh Manirajan Ramasamy dan Irwan Shafrizan Ismail

DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yakin dengan kebijaksanaan dan pengalaman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui negara sebelum ini, mampu membawa Malaysia ke tahap lebih baik.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dengan barisan kepemimpinan yang ada dalam kerajaan, ia mampu menjadi pasukan mantap untuk menerajui negara.

“Hari ini, pertama kali saya datang untuk melapor diri dan ini satu perjumpaan penuh bermakna dan saya kira permulaan baik untuk datang dan membincangkan hala tuju untuk sama-sama menerajui kerajaan Malaysia baharu.

“Saya rasa Tun dengan kebijaksanaan dan pengalaman lama, teruja, dan terbukti dalam pemerintahan, kita akan sama-sama buat satu pasukan mantap untuk negara,” katanya kepada pemberita selepas bertemu Perdana Menteri di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 9 pagi sebelum meninggalkan pekarangan bangunan pada 9.43 pagi untuk menuju ke pejabatnya di Bangunan Perdana Putra.

Semalam, Dr Wan Azizah mengetuai barisan 13 anggota Kabinet mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara.

Istiadat yang berlangsung di Singgahsana Kecil itu turut disaksikan Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Disiarkan pada: May 22, 2018 @ 10:53am
d