mutakhir

'Alas perut' dulu sebelum menyamun

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

TIGA penyamun sempat makan biskut di dapur sebelum melarikan barangan berharga mangsa selepas memecah masuk rumah di Kampung Baru Rasah, Seremban, Jumaat lalu.

Sumber polis berkata, dalam kejadian 4 pagi itu, tiga penjenayah dipercayai berusia 20-an memasuki rumah berkenaan menerusi pintu dapur sebelum masuk ke bilik wanita warga emas berusia 68 tahun.

Katanya, penjenayah bertopeng dan bersenjatakan parang serta pisau itu mengikat mangsa menggunakan tali beg sandang dan wayar seterika sebelum mengikat cucu lelakinya berusia 20 tahun.

"Dalam kejadian itu, seorang lagi cucu lelaki mangsa berusia 17 tahun mengunci pintu bilik dan bersembunyi bawah katil serta menghubungi bapanya yang berada di luar kawasan," katanya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, menantu mangsa berusia 55 tahun yang juga penyelia syarikat binaan pulang ke rumah 4.30 pagi dan mendapati ibu mentua dan anaknya diikat.

"Pemeriksaan mendapati, beg mengandungi RM1,000, sebuah telefon bimbit dan sebuah komputer riba dilarikan penjenayah," katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, 5 pagi.

Katanya ketika dihubungi hari ini, polis sedang giat mengesan ketiga-tiga suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata.

Disiarkan pada: May 22, 2018 @ 2:52pm
d