mutakhir

Gaji penjawat awam naik ke tak?

Oleh Manirajan Ramasamy dan Irwan Shafrizan Ismail

STATUS Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) kepada semua penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai ini akan ditentukan semula kerajaan nanti.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, pengumuman kenaikan KGT pada 1 Julai itu dilakukan kerajaan terdahulu dan kini terpulang kepada kerajaan baharu sama ada mahu melaksanakannya atau sebaliknya.

“KGT itu adalah janji dahulu, sekarang kita serah kerajaan baharu untuk tentukan.

“Kita ikut manifesto kerajaan sekarang, jadi esok ada mesyuarat Kabinet, kita tunggu, mungkin perkara ini akan diputuskan kemudian,” katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, semalam.

Pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) kali ke-16 pada 4 April lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan bersetuju memberikan kenaikan gaji bersamaan satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) kepada semua penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai 2018.

“Ini bermakna penjawat awam mendapat tambahan satu lagi KGT di samping gaji tahunan yang diterima bagi tahun 2018,” katanya.

Terdahulu Ali tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini pada jam 2.25 petang sebelum meluangkan masa lebih satu jam bertemu Perdana Menteri.

“Pertemuan hari ini adalah rutin harian sahaja,” katanya.

Disiarkan pada: May 22, 2018 @ 4:46pm
d