mutakhir

Pegawai tak boleh akses akaun, laporan [METROTV]

Oleh Azura Abas; Ooi Tee Ching dan Hazwan Faisal Mohamad

MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pegawai di Kementerian tidak dibenarkan untuk mengakses beberapa akaun dan laporan oleh kerajaan sebelum ini.

Selain itu katanya, ada juga fail sulit yang dilabelkan ‘fail merah’ yang hanya boleh diakses oleh beberapa pihak sekali gus menghalang pegawai dan juruaudit untuk menjalankan tugas mereka.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini dipercayai memperdaya orang awam mengenai beberapa perkara kontroversi terutama berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), malah telah menyalahlaporkan mengenai kedudukan kewangan negara di Dewan Rakyat.

“Siasatan dan pencarian yang mendalam serta menyeluruh masih dilakukan bagi mendapatkan data dan maklumat kewangan yang berkenaan.

“Saya juga telah mengarahkan supaya semua akaun dibuka kepada Perbendaharaan dan Ketua Audit Negara bagi membolehkan mereka menjalankan tugas dengan telus dan berkesan.

“Kedua-dua Perbendaharaan dan Ketua Audit Negara akan meneruskan pencarian fail berkenaan bagi memberi gambaran lebih jelas kepada Kerajaan Persekutuan mengenai kedudukan kewangan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pertamanya sebagai Menteri Kewangan di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, di sebalik semua cabaran, beliau optimis dan yakin untuk memulihkan kembali kewangan negara menjadi lebih baik.

“Kewangan Malaysia dan sistem perbankan kekal meyakinkan dan berdaya tahan. Tambahan, pinjaman tidak berbayar (NPL) mewakili kurang satu peratus daripada keseluruhan portfolio pinjaman.

“Asas ekonomi negara kekal kukuh, justeru sebaik sahaja kita mampu membersihkan kewangan kerajaan, kita akan mampu mengukuhkan lagi keyakinan pelabur dan orang awam kepada Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: May 22, 2018 @ 8:52pm
d