mutakhir

Calon bebas mahu terus bantu masyarakat

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

BIARPUN tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), calon bebas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Jempol, Datuk Seri Dr S Surash tidak patah semangat untuk meneruskan kerja kebajikan di kawasan berkenaan.

Katanya, sebagai anak jati Jeram Padang, beliau akan terus menabur bakti dan membantu penduduk sedaya yang boleh.

“Pilihan raya sudah berakhir dan di atas kertas, saya tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk L Manickam. Walaupun begitu saya berjaya menambat hati pengundi di tujuh daripada 10 Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi DUN Jeram Padang,” katanya hari ini.

Menurutnya, ramai pihak sedia maklum, BN tidak pernah kalah di 10 PDM, namun kali ini beliau berjaya menembusinya.

“Ini bermakna, saya menerima sokongan daripada penduduk di PDM Felda Palong 1 dan 2. Bagi PDM Felda Bukit Rokan Barat (sebelum ini), pembangkang tidak pernah mendapat lebih 100 undi tetapi kali ini berpihak kepada calon bebas sehingga meraih 213 undi,” katanya.

Ahli perniagaan itu berkata, beliau akan terus berusaha menambat hati masyarakat dengan menyalurkan pelbagai bantuan seperti sara hidup, perayaan, kesihatan dan bantuan pelajar ke universiti.

Katanya, beliau menghargai sokongan pengundi dan akan mengadakan majlis penghargaan di setiap PDM dalam masa terdekat.

Pada PRU-14 lalu, Manickam meraih 3,702 undi diikuti Dr Surash yang memperoleh 2,640 undi. Sementara itu, calon PKR, S Musliadi Sabtu mendapat 2,302 undi dan calon PAS, Mohd Fairuz Mohd Isa meraih 1,062.

Disiarkan pada: May 22, 2018 @ 10:49pm
d