mutakhir

Terbakar kali ketiga...

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

SEBUAH kedai perabot terletak di Taman Bukit Ampang, di Ampang, terbakar buat kali ketiga, jam 9.50 malam tadi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.56 malam.

Katanya, operasi memadam membabitkan tiga jentera iaitu dua dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan serta satu dari BBP Ampang.

"Operasi memadam membabitkan 33 anggota bomba serta seorang pegawai termasuk dari BBP Keramat serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

"Ketika sampai, api sedang marak membakar bahagian atas belakang kedai perabot dua tingkat berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Menurut Mohd Rizal, api berjaya dikawal kira-kira jam 11 malam tadi. Katanya, kebakaran menyebabkan 50 peratus kedai terbabit musnah.

"Ketika kejadian, tiada pekerja di premis terbabit.

"Bahagian yang terbakar hanya membabitkan bahagian atas tingkat dua kedai perabot itu sahaja," katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2018 @ 12:21am
d