mutakhir

Hanya kerana RM20...

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

BENGANG permintaannya untuk mendapat RM20 tidak dipenuhi bapa, lelaki naik hantu apabila merosakkan barangan di rumah mereka dalam kejadian di Kuala Nerus, pada Sabtu lalu.

Bukan itu sahaja, suspek berusia 22 tahun turut mengugut akan membakar rumah keluarganya sekiranya bapanya melaporkan perbuatannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, suspek sebelum itu ada menghubungi bapanya berusia 55 tahun meminta RM20, namun mangsa tidak dapat menunaikan permintaan itu kerana tidak mempunyai wang.

“Difahamkan, beberapa hari sebelum itu, mangsa sudah memberikan RM30 kepada suspek dan kegagalan mangsa memenuhi kehendaknya menyebabkan suspek naik angin lalu merosakkan barangan di rumah mereka.

“Bimbang kejadian lebih buruk berlaku, mangsa segera membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit pada hari sama untuk tindakan lanjut,” katanya.

Idris berkata, mangsa yang berada di balai polis turut menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada suspek yang mengugut akan membakar rumah sekiranya laporan polis dibuat.

Katanya, mangsa memaklumkan kejadian seumpama itu sudah kerap berlaku apabila suspek akan mengamuk sekiranya permintaannya tidak dipenuhi.

“Suspek dipercayai penagih dadah itu kini sedang diburu kerana tidak pulang ke rumah sejak kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2018 @ 2:57pm
d