mutakhir

Cemas 15 minit

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

BAYI perempuan berusia sembilan bulan terperangkap hampir 15 minit dalam kereta ibunya dalam kejadian di Taman Permata, Jalan Padang Tembak, Lumut, hari ini.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas bayi berkenaan diletakkan di kerusi bayi di tempat duduk belakang oleh ibunya yang kemudian ingin kembali ke tempat pemandu dan menghidupkan enjin, namun pintu kemudian terkunci sendiri ketika ibu mangsa belum sempat masuk.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu 10.42 pagi sebelum sepasukan anggota ke lokasi bagi memberi bantuan.

"Ketika tiba, anggota mendapati muka bayi terbabit sudah merah dan berpeluh serta sedang menangis mungkin kerana panas disebabkan enjin tidak dihidupkan.

"Bomba kemudian mengambil masa kira-kira 10 minit untuk membuka pintu kereta berkenaan dengan menggunakan peralatan khas," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bayi terbabit berada dalam keadaan baik dan operasi menyelamat tamat pada 11.05 pagi.

Disiarkan pada: May 23, 2018 @ 3:37pm
d