mutakhir

Rumah hangus, al-Quran selamat [METROTV]

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

“BIARPUN rumah musnah, al-Quran yang disimpan dalam almari tidak dijilat api dan saya hanya cedera di tangan kanan ketika menyelamatkan barangan berharga," kata lelaki warga emas, Ahmad Tasno, 69.

Semalam, rumah yang didiaminya sejak 30 tahun lalu musnah dalam kebakaran di Jalan Bernam, Pasir Panjang, Sekinchan, kira-kira 4 petang.

Ahmad berkata, ketika kejadian, dia dan isterinya Mariah Rosman, 55, menunaikan solat Asar berjemaah di masjid berdekatan.

"Selesai solat, saya dimaklumkan jiran yang tiba di masjid, ternampak bahagian belakang rumah saya berasap.

"Keresahan hati saya terjawab apabila melihat api sudah marak memusnahkan rumah kami sehingga menyebabkan seluruh badan ini menggeletar tanpa henti," katanya ketika ditemui NSTP di tempat kejadian, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Sungai Besar, Muslimin Yahaya menyerahkan sumbangan kepada pasangan warga emas itu.

Menurutnya, dia cuba masuk ke dalam rumah untuk mengambil kunci kereta, barangan berharga dan dokumen penting.

"Namun, api terlalu marak dan saya hanya sempat mencapai kunci kereta dan buku bank.

"Barangan lain seperti televisyen dan perabot musnah sama sekali kecuali al-Quran dan kitab agama yang diletakkan dalam almari di ruang tamu," katanya memaklumkan anggaran kerugian hampir RM100,000.

Kata Ahmad, dia hanya mampu reda dengan ketentuan Ilahi biarpun ia berlaku ketika Ramadan.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam (12056022659479) atas nama Ahmad Tasno atau menghubunginya di talian 013-3136997.

Disiarkan pada: May 23, 2018 @ 5:58pm
d