mutakhir

Wanita 100 tahun rentung

Oleh Wan Faizal Ismayatim

WANITA berusia 100 tahun rentung selepas rumah didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Lohan Ulu, dekat Ranau, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.40 petang itu, seorang lelaki dikenali sebagai Adrian Sha, cedera di bahagian kepala serta melecur.

Turut musnah ialah sebuah kereta Perodua Kancil yang diletakkan di tepi rumah terbabit.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.48 petang.

Katanya, sembilan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan I Devi Engsoi bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ranau ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang terbakar 100 peratus.

“Terdapat mangsa wanita berusia 100 tahun ditemui rentung dan seorang mangsa lelaki cedera di bahagian kepala dan melecur.

“Mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan jentera Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS), manakala mangsa rentung diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.30 petang.

Disiarkan pada: May 23, 2018 @ 9:08pm
d