mutakhir

Detik cemas tetulang konkrit bumbung runtuh

Oleh Amrullah Abdul Karim

KANAK-KANAK lelaki berdepan detik cemas apabila tetulang konkrit bumbung rumahnya runtuh dalam kejadian di tingkat lima Blok J, Apartmen Anggerik, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, hari ini.

Kejadian pada 1.35 tengah hari ini disedari Muhammad Haziq Shaharudin, 10, ketika dia bersiap untuk ke sekolah agama sementara ibunya, Aminah Alias, 48, menunaikan solat di ruang tamu rumah.

Menurut Haziq, kejadian berlaku ketika hujan lebat dan tetulang konkrit dan batu itu runtuh dipercayai akibat disambar petir.

Katanya, ketika itu dia berdiri berdekatan kerusi di ruang tamu rumahnya sebelum struktur itu tiba-tiba runtuh di sebelahnya lalu menghempap tempat duduk berkenaan.

“Saya jerit ibu... ibu... bumbung jatuh. Ibu yang sedang solat masa itu terpaksa berhenti sebab bumbung itu jatuh dekat dengan ibu,” katanya yang ditemui ketika lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali Harumaini Omar di rumahnya.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) Apartmen Anggerik, Taman Bunga Raya Muhamad Tarmizi Hasim.

Katanya, sebelum itu dia terdengar bunyi dentuman yang kuat dari atas bumbung dan disusuli runtuhan tetulang konkrit berkenaan.

Sementara itu, Aminah yang ditemui berkata, dia tergamam dan dalam keadaan terkejut terus memeluk Haziq lalu menariknya ke tepi.

“Masa itu hanya saya dan anak kedua ada di rumah. Suami kerja dan dua lagi anak sekolah.

“Saya tak tahu nak buat apa masa itu sebab terkejut. Hanya tertanya, betulkah rumah saya (berlubang) macam ini,” katanya memaklumkan kejadian kepada suaminya yang bekerja di Rawang.

Katanya, kejadian itu menyebabkan bumbung rumahnya berlubang dan ruang tamu dipenuhi air hujan serta bekalan elektrik terputus.

Dalam pada itu, Harumaini berkata, atas inisiatif JMB Apartment Anggerik, keluarga mangsa kini ditempatkan sementara di dewan apartmen berkenaan.

Katanya, bantuan segera iaitu wang tunai dihulurkan dan beliau akan membantu pihak JMB menguruskan keperluan penempatan lain lebih selesa, sementara kerja membaikpulih dilakukan dalam masa terdekat.

Disiarkan pada: May 23, 2018 @ 11:21pm
d