mutakhir

Wanita bujang kerja lasak tanggung keluarga

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Menggalas tanggungjawab sebagai tulang belakang keluarga termasuk menjaga bapa uzur dan dua kakak serta adik yang mempunyai masalah mental agak berat bagi seorang wanita.

Namun bagi Hasnah Dolah, 44, tanggungjawab itu digalasnya dengan penuh ikhlas, malah sanggup melakukan kerja kampung demi kelangsungan hidup mereka lima beranak.

Dia yang belum berkahwin membantu bapanya, Dolah Mamat, 85, mengupas kelapa dan untuk menambah pendapatan, dia juga menjual tempurung kelapa yang dibakar untuk dijadikan arang.

Hasnah yang ditemui di rumahnya di Pulau Tongkang di sini, berkata, arang yang diperoleh akan dijual dengan harga RM10 satu guni dan secara purata dia memperoleh pendapatan RM500 termasuk hasil jualan kelapa.

“Bagi orang lain jumlah itu sedikit tapi bagi kami lima beranak sudah memadai dan mampu untuk membeli juadah berbuka puasa serta bersahur.

“Setiap petang saya akan membawa sendiri bot penambang untuk ke bazar Ramadan di bandar Tumpat bagi membeli sedikit kuih.

“Biasanya saya membeli nasi campur atau nasi ayam kerana tidak larat memasak kerana sudah penat bekerja pada siang hari,” kata anak keempat daripada tujuh beradik itu.

Dua kakaknya, Azizah, 60, dan Mek Yah, 52, serta adiknya, Khatijah, 42, menghidap masalah mental sejak lahir dan berikutan itu, hanya Hasnah dan bapanya saja yang berpuasa.

Untuk bersahur pula, Hasnah hanya panaskan satu jenis lauk yang dibeli di bazar Ramadan dan itu sudah memadai untuk dia dan bapanya.

Menurutnya, bebannya agak ringan kerana semua adik-beradiknya yang dalam kategori orang kurang upaya (OKU) mendapat elaun bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala bapanya menerima elaun bulanan di bawah skim warga emas.

Hasnah berkata, Syawal tahun ini pasti hilang seri kerana mereka sekeluarga menyambutnya tanpa ibu yang meninggal dunia tahun lalu kerana sakit tua.

“Sebab itulah saya berasakan tanggungjawab menjaga keluarga tergalas di bahu saya kerana mereka (bapa dan tiga beradik lain) memerlukan saya.

“Selagi saya hidup dan mempunyai kudrat akan saya jaga mereka setakat yang terdaya, malah tidak kisah bekerja apa sekalipun asalkan makan dan pakai mereka terjaga,” katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2018 @ 3:57am
d