mutakhir

Warga Myanmar cuba suap RM1,600 [METROTV]

Oleh Aizat Sharif

Alor Setar: Seorang warga Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana cuba merasuah anggota polis marin dengan nilai suapan RM1,600 di Langkawi bulan lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Soe Moe Thu, 33 selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh cuba memberi suapan RM1,600 kepada anggota polis marin, Inspektor Mohd Yushaini Abu Bakar pada 26 April 2018 jam 3.30 petang di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah (1), Persiaran Putra, Kuah, Langkawi, Kedah.

Suapan itu sebagai dorongan melepaskan diri selepas ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen 1959/1963.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta sama.

Disiarkan pada: May 24, 2018 @ 3:59am
d