mutakhir

Juadah depan pintu

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Ramadan bukan saja bulan yang ditunggu-tunggu umat Islam untuk beribadah, malah ia turut dimanfaatkan mereka yang ingin menambah pendapatan.

Sesuai dengan peredaran semasa, ada dalam kalangan individu berkenaan menyediakan perkhidmatan penghantaran juadah berbuka sehingga ke depan pintu rumah pelanggan.

Seorang pengusaha makanan tradisional Terengganu dan Kelantan Izura Nur Ismail, 34, berkata, dia menawarkan perkhidmatan itu berikutan menerima permintaan tinggi daripada penduduk Lembah Klang yang berasal dari negeri di pantai timur, Semenanjung Malaysia.

“Alhamdulillah, sambutan agak menggalakkan dan ramai yang menempah makanan dari dapur rumah kami dipasarkan menggunakan jenama Mek Ya untuk berbuka puasa.

“Setakat ini kami menyediakan 50 pek makanan yang setiap satu berharga RM10. Kami tawarkan pelbagai juadah antaranya nasi dagang, nasi tomato dan nasi kerabu buat penggemar makanan dari pantai timur,” katanya.

Izura berkata, dia dan ibunya, Maznah Fauzi, 75, menyediakan bahan tumis untuk nasi kerabu dan nasi dagang sebelum bersahur bagi mengekalkan keaslian rasanya.

Meskipun berpuasa, dia dan ibunya tetap mahu menyajikan makanan yang mempunyai rasa sama seperti pada bulan biasa, berikutan itu mereka sanggup bersekang mata bagi memberikan kepuasan kepada pelanggan.

Sementara itu bagi melancarkan perkhidmatan ditawarkan, dua beranak itu mendapatkan bantuan tiga individu yang sedia menghantar juadah ditempah kepada pelanggan sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, dia menawarkan perkhidmatan itu berikutan sukar mendapat pekerjaan dan memanfaatkan kemahiran memasak dimiliki ibunya untuk menjana pendapatan.

“Inilah hasil pendapatan kami sekeluarga dan berharap berbaki beberapa minggu lagi Ramadan, lebih ramai yang menempahnya daripada kami.

“Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa saya memilih tradisional Terengganu dan Kelantan, jawapannya kerana ibu berasal dari Besut, Terengganu, manakala arwah bapa Kelantan.

“Jadi kami dua beranak memang kerap memasak makanan tradisi kampung ini, sepanjang tinggal di Lembah Klang,” katanya.

Katanya, pendapatan hasil perkhidmatan ditawarkan mencecah RM300 sehari, malah ia turut menarik perhatian syarikat korporat yang membuat tempahan setiap minggu.

Disiarkan pada: May 24, 2018 @ 4:29am
d