mutakhir

Maut tikaman di dada

Oleh Faliq Lajim

Pelabuhan Klang: Pengawal keselamatan ditemui mati dengan kesan tikaman di dadanya berdekatan kawasan pencawang Telekom Malaysia (TM) di sini, kelmarin.

Mayat mangsa, M Kumarasan, 43, ditemui terbaring oleh jurutera yang tiba di tempat kerjanya itu pada jam 8.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di kawasan semak antara bangunan telekomunikasi itu dengan sebuah dewan serbaguna.

“Mangsa ditemui berpakaian lengkap bersama dokumen pengenalan diri dan terdapat kesan tikaman pada bahagian dada kiri.

“Namun tiada senjata dijumpai di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, punca kematian disebabkan luka tikaman ke jantung menggunakan senjata tajam.

Shamsul Amar berkata, semakan mendapati mangsa memiliki enam rekod jenayah lampau termasuk kes bunuh dan dadah.

“Kami sudah menahan tiga lelaki berusia 40 hingga 57 tahun selain merampas dua pisau, beg tangan dan gunting,” katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2018 @ 4:37am
d