mutakhir

Logo 1Malaysia UTC Pahang diturunkan

Oleh Asrol Awang

LOGO 1Malaysia di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang, Jalan Stadium, di Kuantan, diturunkan pagi hari ini.

Tinjauan NSTP mendapati kerja menurunkan logo terbabit menggunakan dua kren bermula 8 pagi sebelum berakhir dua jam kemudian.

Logo 1Malaysia adalah cetusan idea bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sejak mula menjadi ketua kerajaan pada 2009.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan akan menukar gagasan 1Malaysia kepada slogan baharu.

UTC Pahang yang dibangunkan dengan kos RM37 juta dirasmikan Najib pada 11 April 2013.

Ia dibuka secara rasmi pada 1 April 2013 dan beroperasi mulai 8.30 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Bangunan empat tingkat yang sebelum ini dijadikan Terminal Makmur itu dinaik taraf dengan menempatkan lebih 50 agensi Kerajaan Pusat, Kerajaan Pahang, badan berkanun, pusat pembangunan dan aktiviti belia, ruang perniagaan produk tempatan, gerai makanan serta pusat kegiatan badan bukan kerajaan (NGO).

Ia menjadi pusat sehenti bagi pelbagai perkhidmatan kerajaan, swasta dan NGO dengan menawarkan perkhidmatan, seperti permohonan pasport, MyKad, khidmat klinik gigi serta pelbagai perkhidmatan agensi kerajaan lain.

Sementara itu, Ketua Seksyen Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Izad Zainal Muhammad Safian berkata, tindakan menurunkan logo berkenaan atas arahan Kementerian Kewangan yang dilaksanakan di semua Pusat UTC seluruh negara.

“Kerja menurunkan logo itu dilaksanakan kontraktor dilantik dan berjalan dengan lancar,” katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2018 @ 1:13pm
d