mutakhir

Polis cari kaki intai

Oleh Rosli Ilham

POLIS meminta kerjasama orang ramai mengesan lelaki kaki intai, yang didakwa menceroboh tandas wanita di tandas stesen minyak, Chukai, semalam.

Ketua Polis daerah Kemaman, Superitenden Mohd Said Ibrahim berkata, polis menerima laporan daripada wanita berusia 30-an yang dipercayai menjadi mangsa intai suspek.

Beliau berkata, mangsa dikatakan masuk ke tandas terbabit kira-kira 8 pagi, sebelum suspek berusia lingkungan 20 hingga 30-an mengikuti mangsa masuk ke tandas itu.

"Kita sudah melihat kamera litar tertutup (CCTV ) yang dipasang di kawasan tandas itu bagi mengenal pasti wajah suspek dan nombor pendaftaran motosikal suspek.

"Suspek dilihat tiba di perkarangan tandas itu menaiki motosikal jenis Yamaha Lagenda berwarna biru dan pada mulanya suspek dilihat mundar mandir sebelum mengekori wanita itu masuk ke tandas," katanya.

Mohd Said berkata, suspek tidak lama kemudian bergegas keluar dari tandas menuju ke arah motosikalnya, sebelum bertindak melarikan diri.

"Kita akan menyiasat dari segenap aspek berkenaan kejadian ini bagi mengetahui motif dan ini adalah kes pertama di daerah ini mengintai di tandas stesen minyak.

"Kita menasihatkan pengguna supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang lagi," katanya sambil memuji langkah pengusaha stesen minyak meletakkan CCTV di kawasan sunyi sebagai langkah keselamatan.

Orang ramai yang mengenali suspek diminta menyalurkan maklumat kepada polis dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana berkelakuan biadab," katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2018 @ 3:27pm
d