mutakhir

Buang bagasi syabu ke laut

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perlis mematahkan cubaan menyeludup syabu seberat 401 kilogram (kg) bernilai RM29 juta ke negara ini di perairan sekitar Kuala Perlis, semalam.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata, dalam kejadian 2.30 pagi itu, pihaknya sedang melakukan rondaan sekitar perairan Kuala Perlis.

“Sewaktu bot laju kami sedang melakukan rondaan, mereka bertemu dengan sebuah bot yang mencurigakan sedang melalui perairan sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Kuala Perlis.

“Ketika mendekati bot terbabit, tiga lelaki membuang lapan bagasi bersaiz besar yang dimuatkan sebanyak 378 bungkus syabu ke dalam laut,” katanya pada sidang media di Pejabat Zon Maritim Kuala Perlis, hari ini.

Zulkifli berkata, pihaknya mengejar bot terbabit, tetapi gagal apabila mereka memasuki perairan Thailand.

“Mereka memasuki perairan Pulau Brasmana, Thailand dan kami terpaksa berpatah balik semula ke perairan utama Kuala Perlis dan mengambil semua bagasi dibuang itu.

“Kami percaya ketiga-tiga lelaki terbabit adalah warganegara Thailand cuba menyeludup syabu berkenaan ke negara ini dan percaya ada sindiket dalam negara ini sedang menanti mereka,” katanya.

Beliau berkata, penyeludup terbabit seakan bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya ditahan oleh pihaknya.

Menurutnya, mereka sudah membungkus semua syabu terbabit di dalam plastik direka khas dan kedap udara.

“Malah mereka menggunakan beg bagasi hitam yang tebal dan kalis air serta mudah terapung sekiranya dicampakkan ke dalam air supaya mudah untuk mereka mengambilnya semula selepas berjaya melarikan diri.

“Ini adalah rampasan terbesar syabu dilakukan kami bagi tahun ini manakala tahun lalu rampasan terbesar dilakukan di perairan Sabah,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1985 dan pihaknya akan mendapatkan kebenaran mahkamah untuk membakar semua dadah terbabit.

Disiarkan pada: May 24, 2018 @ 5:30pm
d