mutakhir

Nak bagi sokongan pada Najib je...

Oleh Kalbana Perimbanayagam

RAJA Bomoh, Ibrahim Mat Zin, 68, dilihat muncul di perkarangan kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun beliau yang juga Presiden Seni Silat Gayung Ghaib Malaysia (PSSGGM) tidak membawa sebarang barangan untuk upacara ritual.

Sebaik turun dari kenderaan, beliau memandang ke arah kediaman Najib dan memberitahu wartawan bahawa kedatangannya untuk mengucapkan terima kasih kepada bekas pemimpin itu.

"Beliau (Najib) banyak memberikan sumbangan. Jadi, saya mahu memberikan sokongan terhadapnya. Itu saja," katanya ketika ditemui di perkarangan kediaman Najib, di sini, hari ini.

Ketika ditanya, adakah beliau akan berjumpa bekas Perdana Menteri terbabit, Ibrahim menjawab tidak sebelum kembali semula ke kenderaannya tanpa menjelaskan maklumat terperinci 'lawatannya' itu.

Sebelum ini, aksi Raja Bomoh menarik perhatian ramai apabila beliau membawa kelapa dan buluh untuk melakukan ritual khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam usaha mencari pesawat MH370.

Tindakan itu menyebabkan beliau muncul dalam tajuk utama laporan media pada 2014 termasuk ketika pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam, tahun lalu.

Beliau melakukan beberapa upacara ritual menggunakan kelapa dan tongkat di pantai Bagan Lalang, Selangor kononnya untuk melindungi Malaysia dari Korea Utara.

Pada Febuari 2015, Ibrahim muncul di Penjara Sungai Buloh bagi mengusir roh jahat yang didakwa membahayakan Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Disiarkan pada: May 24, 2018 @ 7:07pm
d