mutakhir

Wanita ditemui tidak sedarkan diri meninggal dunia

Oleh Omar Osman

WANITA yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di bawah jambatan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bandar Sungai Petani, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, polis menerima maklumat pada 4.15 petang mengenai kematian mangsa, 27, daripada klinik kesihatan terbabit.

Katanya, siasatan mendapati, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di bawah jambatan hadapan sebuah hospital swasta oleh seorang lelaki lalu dibawa ke klinik untuk rawatan.

“Bagaimanapun ketika menerima rawatan, mangsa gagal diselamatkan dan meninggal dunia.

“Siasatan polis kemudian mendapati kejadian berlaku di Flet Paya Nahu sebelum mangsa dibawa dan ditinggalkan di bawah jambatan itu oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Saifi berkata, susulan itu, pihaknya menahan tiga wanita dan seorang lelaki berusia 26 hingga 52 tahun di sekitar Flet Paya Nahu, Kampung Pengkalan Lebai Man dan Sungai Petani bagi membantu siasatan.

“Tangkapan itu membabitkan ibu dan anak serta adik-beradik selain kita juga sedang mengesan beberapa lagi suspek yang terbabit dalam kejadian itu.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2018 @ 7:10pm
d