mutakhir

Segerakan pengisytiharan harta - Syed Saddiq

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berharap kerajaan dapat melaksanakan secepat mungkin pengisytiharan harta Menteri, Timbalan Menteri dan semua Ahli Parlimen dalam Pakatan Harapan (PH).

Syed Saddiq berkata, beliau menyokong sepenuhnya keputusan itu kerana ia adalah langkah tepat bagi mengelakkan pemimpin sedia ada terbabit dalam rasuah dan salah guna kuasa.

Katanya, kerajaan PH sudah berjanji untuk isytihar harta dan ia juga sama dengan saranan yang diberikan oleh Pengerusi Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar.

“Sebelum ini pengisytiharan aset hanya terhad kepada Perdana Menteri tetapi terdapat pertindihan kepentingan.

“Sebaliknya, kita perlu isytihar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus dan agensi itu akan maklumkan kepada Parlimen.

“Saya sendiri, jadi atau tidak dilantik sebagai timbalan (menteri) atau apa jawatan sekali pun akan tetap akan mengisytiharkan harta kerana sebagai Ahli Parlimen Muar, saya rasakan ia adalah satu tanggungjawab,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Syed Saddiq mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Putrajaya, hari ini, bahawa Menteri, Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen PH akan membuat pengisytiharan harta masing-masing.

Menurut Dr Wan Azizah, ia antara perkara yang pernah dinyatakan pemimpin PH sebelum ini dan wajar dilakukan.

Sebelum itu, TI-M turut menyarankan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan semua anggota Kabinet mengisytiharkan harta mereka kepada SPRM dan mendedahkannya secara terbuka secara dalam talian.

Ia bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti mereka diketahui rakyat termasuklah harta pasangan masing-masing serta ahli keluarga mereka yang terdekat.

Bagaimanapun, menurut Akhbar, Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu terlebih dahulu mengisytiharkan hartanya kepada Parlimen sebelum Perdana Menteri dan anggota Kabinet mengisytiharkan harta masing-masing.

Mengenai jawatan Menteri Belia dan Sukan dan yang hangat diperkatakan netizen sesuai untuk beliau, Syed Saddiq berkata, semua itu adalah keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir untuk membuat pilihan kerana PH mempunyai ramai calon muda berwibawa.

“Tun (Dr Mahathir) tahu apa yang terbaik untuk rakyat Malaysia. Jadi menteri atau tidak, ia bukan fokus utama saya kerana tujuan menyertai politik bukanlah untuk mendapatkan jawatan dalam kabinet.

“Apapun, jika tidak dilantik ke sebarang jawatan sekali pun, saya tetap akan menjadi penyokong utama dalam memartabatkan pendapat serta suara anak muda dan perjuangan itu tidak akan disia-siakan,” katanya.

Diminta mengulas lanjut isu kebebasan media, Syed Saddiq berharap tiada lagi sekatan tertentu terhadap media di negara ini untuk melaporkan berita untuk kepentingan rakyat Malaysia.

“Kita (kerajaan sekarang) akan mengkaji semula, Akta AntiBerita Tidak Benar 2018, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta akta-akta berkaitan bagi membolehkan media melaporkan berita yang menjadi keutamaan serta mempunyai kepentingan kepada rakyat,” katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2018 @ 9:30pm
d