mutakhir

'Kenyataan menteri macam saya jahat'

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: “Keadaan dan konteks jawapan saya tidak dinyatakan sehingga memberikan gambaran salah dan memperlihatkan saya seperti orang jahat,” ujar Presiden 1Malaysia Development Bhd, Arul Kanda berhubung kenyataan akhbar dikeluarkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kelmarin.

Katanya, adalah tidak adil untuk Guan Eng mengeluarkan kenyataan awam yang dianggap memberi gambaran tidak tepat berkaitan apa yang berlaku.

“Pada pandangan saya, tidak adil untuk menteri membuat kenyataan terbuka, yang tidak sepenuhnya dan dengan tepat menggambarkan bagaimana soalan ditanya dan dijawab (dalam sesi taklimat 1MDB).

“Kenyataan yang saya berikan adalah dalam kapasiti peribadi dan bukan sebagai Presiden 1MDB atau ada hubung kait dengan pekerjaannya di 1MDB,” katanya yang mahu mendapatkan nasihat perundangan berhubung isu itu.

Merujuk kepada sesi taklimat kelmarin, Arul berkata, beliau ditanya banyak soalan dan menjawabnya dengan jujur serta terbaik.

Bagaimanapun, Arul berkata, beliau tidak mempunyai dokumen sokongan untuk ditunjukkan pada masa itu.

“Saya menjawab semua soalan dengan terbaik, jujur berdasarkan pengetahuan saya, berdasarkan rekod syarikat, pengetahuan sendiri dan berdasarkan maklumat dibekalkan pegawai syarikat.

“Lebih penting lagi, saya menafikan sebarang unsur fitnah dan serangan peribadi terhadap saya oleh Menteri Kewangan,” katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2018 @ 4:32am
d