mutakhir

Aroma 'Laksa Utagha'

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Sentuhan air tangan dari utara menjadi rahsia ‘Laksa Utagha’ yang dijual begitu mendapat sambutan daripada pelanggan sejak lima tahun lalu.

Ketelitian dalam menyediakan bahan secara bersendirian menjadikan rasa dan aroma laksa itu tidak berubah serta mengikut citarasa pelanggan yang menggemari hidangan itu.

Itulah tip yang dikongsi Surihanum Saad, 50, peniaga laksa yang cukup dikenali dalam kalangan pelanggan di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail, di sini.

Katanya, menu laksa utara yang agak sukar didapati terutama di Lembah Klang, mendorongnya untuk mempromosikan makanan itu di bazar Ramadan.

“Kalau dulu ada beberapa peniaga lain turut menjual laksa, tetapi tahun ini hanya saya seorang saja, berikutan itu sambutan yang diterima memang menggalakkan.

“Saya hanya jual laksa saja tetapi istimewa kerana rasanya asli. Syukur ini tahun kelima saya berniaga di bazar ini dan masih ramai pelanggan tetap yang singgah untuk membeli,” katanya.

Surihanum yang juga peserta program 5by20 di bawah Inisiatif Komuniti Usahawan Coca Cola (Coca -Cola KU) berkata, ada dalam kalangan pelanggan tetap mencadangkan dia menjual hidangan itu pada hari biasa.

Ditanya mengenai keistimewaan Laksa Utagha dijual Surihanum berkata, dia begitu menitikberatkan keenakkan kuah yang dihasilkan menggunakan ikan sardin dan diproses mengikut cara kampung kelahirannya di Taman PKNK, Alor Setar, Kedah.

Menurutnya, setiap hari dia menggunakan tujuh kilogram (kg) ikan sardin untuk dimasak sebagai kuah dan dijual bersama 20 kilogram laksa.

“Setiap hidangan turut disertakan bersama telur rebus, timun, cili, sama macam laksa lain, cuma rasa kuahnya saja mungkin berbeza.

“Pelanggan puas hati kerana rasa ‘utara’ yang mereka harapkan itu ada sekali gus ramai yang datang semula ke gerai ini dan sokong perniagaan saya,” katanya.

Dia yang dibantu anak, Muhammad Nur Izzuddin, 18, berkata, selagi ada permintaan dia akan terus menjual Laksa Utagha berkenaan pada Ramadan akan datang.

Disiarkan pada: May 25, 2018 @ 5:11am
d