mutakhir

Pastikan ada sijil halal

Oleh Norzamira Che Noh

HANYA hotel yang mempunyai sijil halal sahaja dibenarkan menawarkan pakej bufet Ramadan sepanjang bulan puasa ini, di Selangor.

Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Wan Najmiah Wan Mohd Ali berkata, sehingga kini sebanyak 46 hotel di negeri ini mempunyai sijil halal.

"Untuk hotel yang tidak memegang sijil halal, mereka dilarang sama sekali untuk mempromosikan pakej bufet Ramadan.

"JAIS kini dalam proses untuk memantau 30 hotel yang disyaki tidak mempunyai sijil halal tetapi menawarkan pakej bufet sepanjang Ramadan ini," katanya ketika ditemui di Shah Alam.

Beliau berkata, di Shah Alam khususnya terdapat sembilan hotel yang mempunyai sijil halal iaitu Hotel Concorde; Hotel Grand Bluewave; Hotel Holiday Inn Glenmarie; Hotel Alami Garden; Hotel Accapella Suite; Hotel De Palma (Shah Alam); Carlton Holiday Hotel and Suites; Laman Green The Boutique Hotel dan Hotel Geno.

Wan Najmiah berkata, setakat ini pihaknya belum mengambil tindakan terhadap hotel yang tidak ada pensijilan halal tetapi menawarkan pakej bufet Ramadan kecuali menasihati pengurusan hotel untuk memohon sijil berkenaan.

"Kita juga ingin menasihati orang ramai agar membuat pemeriksaan terlebih dahulu sebelum memilih hotel sebagai lokasi berbuka puasa.

"Jika tiada sijil halal, kita tidak tahu bagaimana penyediaan makanan dilakukan, kebersihan bahan mentah dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, jika didapati bersalah, hotel terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Perintah 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) Akta Perihal Dagangan 2011.

Disiarkan pada: May 25, 2018 @ 1:22pm
d