mutakhir

Lazatnya sup daging buluh

Oleh Safuri Kamarudin

DUA beradik mengambil inisiatif memasak sup daging menggunakan buluh bagi mencari kelainan untuk menarik orang ramai membelinya sepanjang Ramadan.

Mohd Khairul Ibrahim, 21, dan Mohd Zafuan Aidil Ibrahim, 20, mencipta kelainan itu selepas belajar daripada kemahiran orang tua yang berkelah di hutan menggunakan buluh untuk memasak.

Mohd Khairul berkata, dia dan adiknya sepakat mencipta menu itu sebagai daya tarikan berniaga di bulan puasa.

“Sejak kecil kami selalu ikut ayah, Ibrahim Md Isa, 54, ke sungai mencari ikan dan berkelah, kadangkala kami sepakat masak makanan seperti nasi, sayur dan ikan tawar menggunakan buluh di tepi Sungai Ketil yang berhampiran dengan rumah.

“Jadi, tahun ini kami sepakat membuat kelainan dengan memasak sup daging dan tulang di dalam buluh untuk dijual kepada orang ramai sebagai sajian berbuka puasa," katanya ketika ditemui di gerai milik ibunya, Rozanah Yaacob, 42, di Kampung Titi Teduri, Pulai, Baling.

Menurutnya, sup dalam buluh itu menjadi kesukaan pembeli kerana ia ada kelainan dan rasanya pula agak berlainan daripada biasa kerana lebih wangi dan sedap.

“Kami hanya masukkan daging lembu dan tulangnya serta dicampur dengan perkakas sup seperti biasa kemudian masukkan dalam buluh satu persatu dan rebus dalam periuk besar sehingga masak.

“Rasanya lebih sedap berbanding memasak dalam periuk kerana aroma baunya masih segar. Kalau mereka yang pernah makan masakan itu akan rasa kelazatannya,” katanya.

Mohd Khairul berkata, selain sup dalam buluh, mereka menjual pelbagai jenis masakan termasuk pelbagai jenis ikan bakar seperti tilapia, kembung, keli, cencaru, pari,ayam, kerabu perut sayur keladi dan masak pedas.

Menurutnya, pelanggan semakin ramai datang selepas melihat keistimewaan sup dalam buluh itu melalui media sosial seperti di Facebook dan Twitter.

Sementara itu, pelanggan, Azizan Md Rejab, 58, berkata, idea mereka amat unik dan menarik untuk dikongsi.

“Idea mereka mengembalikan kenangan saya ketika muda dahulu dan ia antara masakan dimasak orang kampung di sini yang dilakukan secara bergotong-royong apabila ada majlis tertentu.

“Saya harap mereka dapat teruskan idea ini dan mencipta pelbagai kelainan lagi supaya ia lebih menarik dan sedap dimakan,” katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2018 @ 3:50pm
d