mutakhir

Maut tercampak dari pacuan empat roda [METROTV]

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

LELAKI berusia 50 tahun maut selepas pacuan empat roda dipandu hilang kawalan lalu terbabas di kilometer 104.1 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Batu Pahat, hari ini.

Pada kejadian jam 10.20 pagi, mangsa, Nazaruddin Sabri beralamat di Chenderong Balai, Perak, maut selepas tercampak keluar dari kenderaannya.

Penumpang pacuan empat roda itu itu parah selepas tercampak keluar dari kenderaan yang berpusing-pusing ketika kemalangan.

Kemalangan turut menyebabkan muatan durian yang dibawa kenderaan itu bertaburan di atas jalan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Johor Bahru menghala ke arah Kuala Lumpur.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu gagal mengawal kenderaan dan terbabas, lalu pacuan empat roda itu berpusing-pusing.

"Akibat kemalangan terbabit, mangsa dan penumpang tercampak keluar dari kenderaan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mangsa yang parah kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: May 25, 2018 @ 7:16pm
d