mutakhir

Pelumba haram didenda RM1,500 seorang

Oleh Ifwan Tun Tuah

“SAYA tak akan ulangi kesalahan ini. Saya mohon hukuman denda dikurangkan kerana perlu menanggung tiga adik masih belajar,” kata Asyraf Haziq Rohaizad, 22, di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini.

Asyraf adalah seorang daripada 11 lelaki yang masing-masing disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman denda RM1,500 seorang kerana memandu dengan berbahaya ketika berlumba secara haram di Nilai, Seremban, dua tahun lalu.

Sepuluh lagi tertuduh ialah Raja Mohd Khalid Raja Mohd Khairi, 20; Amran Md Suhud, 29; Mohammad Shahrul Amir Mohd Fadzil Yusof, 20; Mohamad Sallehin Buyong, 26;

Muhammad Zharif Syazwan Norsham, 23; Mohd Hazwan Mohd Yassin, 23; Amirul Azrri Azmi, 20; Wong Wai Yuan, 24; Chan Xian Zhe, 24 dan Yong Kai Seng, 22.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memandu secara gopoh atau cuai sehingga membahayakan nyawa atau mungkin mengakibatkan cedera atau bencana kepada orang lain.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Persiaran Teknologi 3, Jalan Persiaran Teknologi 4 dan Jalan Persiaran Teknologi 5 di Nilai, antara 3.05 hingga 3.10 pagi pada 20 Mei 2015.

Berikutan itu, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semua mereka yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan M Shanmugavell.

Terdahulu, Majistret Norzaliza ketika menjatuhkan hukuman terhadap Asyraf Haziq berkata, perbuatan mereka membahayakan diri serta orang lain dan berharap hukuman itu menjadi pengajaran berguna.

Disiarkan pada: May 25, 2018 @ 8:13pm
d