mutakhir

Orang Melayu perlu bersatu - Tun M [METROTV]

Oleh Azura Abas

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa orang Melayu dan umat Islam di negara ini agar bersatu bagi mengelakkan perpecahan walaupun mempunyai perbezaan fahaman politik.

Beliau berkata, agama Islam di negara ini masih terpelihara, namun ‘perpecahan’ yang berlaku adalah disebabkan politik.

Menurutnya, perpecahan tidak sepatutnya berlaku kerana umat Islam di negara ini berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah pimpinan Imam Syafie.

“Sepatutnya kita tidak berpecah kerana amalan (Islam) kita sama. Saya berdoa dan minta supaya politik tidak memecah-belahkan orang Melayu yang semuanya Islam dan bersaudara.

“Justeru, saya berharap kita dapat cantum balik umat Islam di Malaysia supaya tak berpecah-belah kerana fahaman politik,” katanya ketika berucap majlis iftar Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Dalam pada itu, Dr Mahathir melahirkan rasa syukur dan gembira kerana kemenangan dikecapi pada pilihan raya umum lalu di mana peralihan kuasa berjalan dengan baik tanpa keganasan.

Katanya, keamanan dikecapi kini tidak dinikmati di semua negara kerana apabila pilihan raya berjalan dan pemerintah dikalahkan oleh parti lawan, berlaku keganasan dan ramai terbunuh.

“Alhamdulillah di Malaysia ini diadakan pilihan raya, dan tidak ada berlaku keganasan, pembunuhan dan sebagainya. Jadi ini sesuatu yang kita berterima kasih serta bersyukur kerana keamanan di negara kita.

“Ini sesuatu yang kita harus ingat selain perlu bersyukur, pilihan raya boleh berjalan dengan aman dan baik bahkan pertukaran kerajaan juga tidak menyebabkan huru-hara,” katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2018 @ 9:00pm
d