mutakhir

Kes Altantuya: Belum ada keperluan buka semula kes - KPN

Oleh Nor Azizah Mokhtar

BELUM ada keperluan untuk polis membuka semula siasatan berhubung kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sehingga kini, pihaknya tidak menerima maklumat atau laporan baru berhubung kes berkenaan.

“Setakat ini, tak ada... tak ada,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Susulan kes pembunuhan itu, bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar dan Cif Inspektor Azilah Hadri dijatuhi hukuman mati pada 2009.

Bagaimanapun, pada 2013, Mahkamah Rayuan membebaskan kedua-dua mereka, namun pada 23 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan pendakwaan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas kedua-dua mereka.

Kesempatan dibebaskan pada 2013, Sirul melarikan diri ke Australia, tetapi ditahan pihak imigresen negara itu dan kini ditempatkan di pusat tahanan di sana.

Mengulas berhubung dakwaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang menerima ancaman ketika menyiasat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDD) pada 2015., Mohamad Fuzi berkata, sehingga kini, pihaknya tidak menerima laporan berhubung perkara itu.

“Perkara itu berlaku sudah agak lama kecuali dia (Mohd Shukri) buat satu laporan polis baharu (maka polis akan jalankan siasatan).

“Ini kerana sebelum ini pun, tiada apa-apa laporan polis (berhubung kejadian itu) dan kita pun sedia maklum dengan apa yang dinyatakan oleh beliau (Mohd Shukri) tempoh hari,” katanya.

Ditanya sama ada polis akan menjalankan siasatan terhadap bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Mohd Fuzi berkata, pihaknya belum mempunyai sebarang petunjuk lagi untuk berbuat demikian.

“Siasatan sudah pun dijalankan oleh SPRM, jadi biarlah SPRM jalankan siasatan daripada perspektif mereka dahulu.

“Kita akan tunggulah apakah perkembangan siasatan oleh SPRM itu,” katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2018 @ 9:57pm
d