mutakhir

Bukan kroni

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

Kuala Lumpur: UMNO menyifatkan langkah kerajaan menamatkan perkhidmatan kakitangan awam lantikan politik sebagai tidak sihat dan tidak seharusnya berlaku.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, alasan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kakitangan terbabit bergaji besar dan kroni adalah tidak benar.

“Perlu dijelaskan sebahagian besar daripada pegawai dan kakitangan ini bergaji sederhana dan rendah, ada antaranya yang menerima gaji mengikut Gred 17.

“Dakwaan mereka kroni menteri tidak benar kerana mereka hanya dilantik dengan persetujuan dan rujukan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang menentukan tangga gaji sesuai dengan jawatan dan kelayakan disandang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ahmad Zahid berkata, sebahagian besar kakitangan terbabit tidak dilantik secara terus seperti yang didakwa, sebaliknya perlu melalui proses sama dengan penjawat awam lain termasuk temu duga dan saringan kesihatan.

Katanya, kebanyakan kakitangan itu bertugas sebagai pemudahcara kementerian dan jabatan tertentu serta tidak menerima faedah secara menyeluruh dalam perkhidmatan awam.

“Apa yang menimpa mereka sekarang mencerminkan ketidakprihatinan kerajaan terhadap perkara ini kerana mereka ditamatkan serta-merta ketika sedang bersiap sedia menyambut kedatangan 1 Syawal.

“Alangkah baik jika sebahagian besar mereka diserapkan ke perkhidmatan awam supaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat benar-benar ingin membela nasib rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kakitangan terbabit tidak seharusnya dijadikan sebagai sasaran mainan dan agenda politik kerana mereka rakyat yang memerlukan pembelaan.

“Rakyat tidak lupa hasrat DAP dari dulu lagi untuk mengurangkan ratusan ribu penjawat awam. Tidak mustahil ribuan penjawat awam ini hanya merupakan titik permulaan,” katanya.

Dr Mahathir sebelum ini mendedahkan, pentadbiran kerajaan terdahulu melantik 17,000 pegawai dan kakitangan secara lantikan politik yang disifatkan terlalu ramai.

Disiarkan pada: May 26, 2018 @ 5:36am
d