mutakhir

Aroma lambuk asli

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Resipi asli menyediakan bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru dipelajari daripada tukang masak bertugas di masjid itu dimaanfatkan dua beranak bagi menambah pendapatan dengan membuka gerai menjual juadah popular umat Islam itu di Bazar Ramadan Wangsa Melawati di sini, sejak empat tahun lalu.

Penggerai berkenaan Mohammad Suhaid Noor Ibrahim, 30, berkata, dia yang dibantu ibu Rohana Muhd, 56, dan adiknya Muhammad Thoriq Noor Ibrahim, 20, menjual 100 ke 200 bungkus bubur lambuk warisan Kampung Baru itu setiap hari.

Mohammad Suhaid berkata, dia menggunakan bahan berkualiti bagi memastikan bubur dimasak bukan saja mempunyai rasa yang enak, malah membangkitkan aroma wangi yang menarik perhatian pelanggan untuk membelinya.

“Proses menyediakan bubur lambuk warisan Kampung Baru ini dimulakan dengan membersihkan bahan asas seawal jam 7 pagi dan sedia untuk dijual pada jam 12 tengah hari.

“Kami kekalkan resipi asli sama seperti bubur yang dimasak di Masjid Jamek Kampung Baru demi memastikan keenakan serta aromanya terus menambat selera pelanggan,” katanya, ketika ditemui di gerainya, semalam.

Sementara itu, Rohana berkata, tempoh masa diambil untuk memasak satu periuk bubur lambuk adalah selama 1 jam 45 minit dan jika mengikut kiraan itu hasilnya adalah amat mengagumkan.

Berikutan itu Rohana, perlu konsisten dan mengikut kiraan masa ditetapkan, jika tidak bubur berisiko hangit atau terlebih masak hingga menjejaskan keenakan serta aromanya.

“Sebenarnya keikhlasan kami dalam menyediakan juadah berbuka untuk umat Islam berpuasa menjadi formula keenakan bubur lambuk ini selain campuran rempah-ratus, herba, udang kering, daging tetel dan minyak sapi digunakan.

“Berikutan sudah berniaga selama empat tahun, kami mempunyai pelanggan tetap selain itu kami turut menerima tempahan daripada syarikat tertentu,” katanya.

Rohana merakamkan penghargaan kepada Coca-Cola dan menyatakan rasa bertuah terpilih dalam program 5by20 di bawah inisiatif Komuniti Usahawan Coca-Cola (Coca-Cola KU).

“Perniagaan kami akan mendapat lebih perhatian dan publisiti hasil inisiatif Cola-Cola KU, sekali gus memperkasakan serta memberikan semangat kepada usahawan kecil,” katanya.

Menerusi program itu, Coca-Cola KU melaksanakan komitmen secara global untuk memperkasakan lebih lima juta usahawan menjelang 2020.

Bagi penganjuran di Malaysia, 5by20 adalah program Coca-Cola KU di mana usahawan tempatan akan diberi sokongan dalam bentuk latihan pengurusan perniagaan dan pendedahan mengenai pertumbuhan perniagaan yang sewajarnya.

Disiarkan pada: May 26, 2018 @ 6:06am
d