mutakhir

Program Semarak Ramadan bermula

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

PROGRAM Semarak Ramadan 2018 anjuran BIMB Holdings Berhad (BHB) bersama Berita Harian (BH) bermula dengan menumbangkan seekor kerbau di Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar, hari ini.

Kerbau itu disembelih 7.30 pagi kemudian dilapah secara bergotong-royong oleh penduduk kampung, warga BH dan kira-kira 50 kakitangan BHB.

Penduduk turut bergotong-royong memasak bubur lambuk, sup dan daging kurma di pekarangan dewan serbaguna kampung berkenaan yang dijadikan sebagai masjid sementara berikutan Masjid Khairiah Kampung Lembah Sayong sedang dalam pembinaan.

Untuk memeriahkan acara, kelas bimbingan al-Quran untuk golongan wanita dan program ‘smart solat’ untuk kanak-kanak turut diadakan pagi ini dengan bimbingan pegawai agama BHB.

Hadir sama pada program berkenaan ialah Ketua Pegawai Operasi BHB, Mohamad Azlan Mohamad Alam; Ketua Pegawai Syariah Kumpulan, Mohd Nazri Chik; Ketua Pegawai Pematuhan Bank Islam, Nik Aznir Nik Anis serta Ketua Wilayah Utara Bank Islam, Ahmad Fauzi Mohd Akhir.

Yang turut hadir, Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Petang ini, warga kerja BHB dan BH akan mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai di Bazar Ramadan di Arena Square di pekan Kuala Kangsar selain menyerahkan apron kepada penjaja di lokasi sama, sebelum acara kemuncak pada waktu berbuka puasa nanti.

Disiarkan pada: May 26, 2018 @ 11:28am
d