mutakhir

'Tangkap kawan saya juga...'

Oleh Nasrawati Syarifuddin

WANITA yang baru melepaskan gian tiga jam sebelum rumahnya diserbu polis di Kampung Vietnam di Tawau, ditahan polis, awal pagi hari ini.

Dia antara sembilan individu didapati positif dadah jenis methampethamine dalam Ops Bersepadu Ramadan di enam lokasi berasingan di daerah Tawau bermula 1 pagi hari ini.

Ketika ditahan, wanita berusia 32 tahun terbabit menangis dan merayu kepada pihak polis untuk menyerbu rumah rakannya yang turut sama menghisap syabu bersamanya tiga jam sebelum pihak polis menahannya di rumah.

Bagaimanapun, rakan suspek gagal dijejaki.

“Syabu itu kawan saya yang beri dengan saya. Saya menghisap dengan dia di rumah tadi sebelum polis datang di rumah,” kata wanita terbabit.

Operasi bersepadu berakhir 4 pagi itu disertai 11 pegawai dan 54 anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau dan dibantu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Tawau.

Dalam operasi berasingan, dua suspek berusia 30-an turut ditahan di dalam rumah di Flat Sri Titingan Tawau.

Hasil maklumat daripada orang awam, kedua-dua suspek yang sudah berkahwin itu dipercayai menjadikan flat itu sebagai tempat melepaskan gian.

Ketika siasatan awal dilakukan, suspek tidak mengaku mengambil dadah, namun pihak AADK menemui satu bekas berwarna merah jambu mengandungi alat menghisap syabu di luar rumah suspek.

Hasil serbuan itu, enam lagi lelaki turut ditahan kerana disyaki mengambil dadah dan ujian saringan air kencing mendapati mereka positif jenis methampethamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah 1983, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Turut ditahan, empat lelaki warga asing kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri sah.

Disiarkan pada: May 26, 2018 @ 3:33pm
d